PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dinasihatkan supaya 'mengunci mulut' sehingga Majlis Dewan Diraja Selangor mengadakan mesyuarat pada Isnin. Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada Ahad, Abdul Khalid berkata beliau tidak akan membuat sebarang kenyataan mengenai kemelut dan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor sehingga mesyuarat tersebut dijalankan. Bagaimanapun katanya, beliau akan menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar seperti biasa sementara menunggu mesyuarat diadakan. "Saya akan meneruskan tugasan sebagai Menteri Besar seperti biasa dan dinasihati untuk tidak membuat apa-apa kenyataan sehingga satu mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor yang telah ditetapkan pada hari Isnin, 11 Ogos 2014. "Saya juga telah dinasihatkan oleh peguam supaya tidak membuat apa-apa kenyataan agar tidak menganggu proses undang-undang yang mungkin akan diambil pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan media tersebut. Dalam kenyataan yang sama, beliau turut mengulangi kenyataan yang dibuat pada Sabtu bahawa beliau menerima keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun tindakan itu salah dan tidak menurut undang-undang serta bertentangan dengan perlembagaan parti.