KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBLK) dalam proses menyediakan bangunan khas untuk memudahkan badan bukan kerajaan (NGO) dan kementerian berkaitan menjalankan aktiviti kebajikan bagi membantu golongan gelandangan. Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib berkata untuk itu, pihaknya dalam proses membeli sebuah bekas hotel di kawasan Jalan Raja Laut di sini. Ia merangkumi tiga bangunan masing-masing setinggi lima tingkat dengan keluasan keseluruhan 1,860 meter persegi. "Kami sedang berunding dengan pemiliknya dan berharap ia dapat dimuktamadkan dalam tempoh sebulan, dua bulan ini," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta acara larian Energizer Night Race 2014 di sini, malam ini. Ahmad Phesal berkata selain menyediakan makanan melalui 'dapur jalanan', DBKL juga akan mengenal pasti aktiviti lain yang boleh dilakukan di premis itu. Menurutnya DBKL amat menghargai usaha NGO yang menjalankan aktiviti kebajikan untuk gelandangan, namun berharap mereka lebih memberi tumpuan kepada aspek penjagaan kebersihan. Mengenai Energizer Night Race 2014, Ahmad Phesal berkata usaha itu perlu diteruskan bagi menjadikan Kuala Lumpur sebuah lokasi signifikan dalam penganjuran acara sukan. Kira-kira 15,000 peserta mengambil bahagian dalam acara itu yang bermula dan berakhir di Dataran Merdeka. Bertemakan 'Race for a Brighter World', ia bertujuan mengumpul dana bagi pembinaan rumah untuk golongan Orang Asli.