suria

Exco DAP, PKR Jumpa Khalid Beramai-Ramai Esok

SHAH ALAM: Hasrat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengadakan pertemuan dengan exco DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mengetahui pendirian mereka berhubung kedudukannya sebagai menteri besar Selangor pada Selasa tidak kesampaian.

Sehingga pukul 4 petang Selasa, tiada exco yang mewakili kedua-dua parti berkenaan yang muncul untuk berbuat demikian, kecuali wakil PAS.

Sumber pejabat Exco Selangor memberitahu mStar Online, barisan exco DAP dan PKR akan hanya bertemu Khalid ketika menghadiri mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang dipengerusikannya, pada Rabu.

"Barisan exco dari DAP sedang menunggu arahan parti dan tidak akan bertemu Khalid berseorangan bagi menyatakan pendirian mereka berhubung kemelut menteri besar di negeri itu.

"Mereka (exco) akan hadir dalam mesyuarat esok, secara beramai-ramai. Saya diberitahu PKR juga begitu," katanya.

Difahamkan, semua exco kerajaan negeri sudah menerima notis untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

Terdahulu, Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi mengesahkan beliau telah mengadakan pertemuan singkat dengan Khalid di pejabatnya.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Yunus berkata, mereka membincangkan mengenai strategi dalam menguruskan pentadbiran Selangor tanpa ahli exco dari DAP dan PKR.

Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang berkata, buat masa ini keempat-empat exco dari PAS akan terus setia bersama Khalid, termasuk Sallehen Mukhyi (Sabak Bernam), Iskandar Ab Samad (Chempaka), Dr Halimah Ali (Selat Klang).

Artikel Lain