PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) minta semua exco PAS di Selangor supaya memboikot mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang akan dipengerusikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pagi Rabu. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, permintaan itu dibuat bagi menunjukkan bantahan dan solidariti PR terhadap tindakan Khalid memecat enam exco PKR dan DAP pada Selasa. "PKR dan DAP merasakan pemecatan ini tidak beretika, tidak menghormati prinsip dan semangat demokrasi yang membelakangkan rakyat yang memberi mandat. "Saya sudah menghubungi Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali meminta beliau sampaikan mesej kepada pimpinan tertinggi PAS meminta solidariti terhadap enam exco yang dipecat supaya wakil parti itu tidak hadir mesyuarat exco esok (Rabu)," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat tergempar oleh pimpinan tertinggi PR di sini, malam Selasa. Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan reaksi Mustafa terhadap permintaanya yang mewakili suara PR itu. Guan Eng berkata, beliau menerima maklumat pemecatan itu pada petang Selasa apabila salah seorang daripada exco yang dipecat, Datuk Teng Chang Khim memaklumkan kepada beliau tentang surat pemecatan yang diterima. "Saya bagi pihak DAP terkejut dengan makluman YB Teng Chang Khim. "Tan Sri Khalid telah pecat mereka berdasarkan keengganan kedua-dua parti (DAP dan PKR) untuk sokong beliau sebagai menteri besar. "DAP dan PKR tidak menerima pemecatan enam exconya kerana menyifatkan ia sebagai sungguh tidak adil dan ia boleh dipertikaikan," tegasnya. Dalam pada itu Guan Eng turut mengingatkan Khalid bahawa beliau dilantik sebagai menteri besar di Selangor kerana mewakili PR di Selangor, 'bukan kerana nama beliau adalah Tan Sri Khalid Ibrahim'. Sementara itu, Chang Khim pada sidang media berasingan berkata, beliau dan lima exco lain yang dipecat tidak akan hadir mesyuarat exco pada Rabu tetapi akan masuk ke pejabat dan bertugas seperti biasa sebagai exco. Khalid sepatutnya mengadakan pertemuan dengan exco DAP dan PKR pada Selasa tetapi hasratnya tidak kesampaian apabila tiada seorang pun exco daripada kedua-dua parti itu yang hadir. Barisan exco DAP dan PKR sebaliknya akan hanya bertemu Khalid ketika menghadiri mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang dipengerusikannya, pada Rabu tetapi ia sekali lagi tidak akan berlaku apabila Khalid bertindak mengumumkan pemecatan enam exco DAP dan PKR lebih awal.