suria

Tambang Bas: SPAD Masih Kaji, Teliti Aduan Pemotongan Subsidi Diesel

PETALING JAYA: Aduan pemotongan 70 peratus subsidi diesel terhadap syarikat bas dikatakan punca Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menangguhkan pengumuman kenaikan tambang bas ekspres.

 

Berdasarkan maklumat yang diperoleh SPAD, pemotongan subsidi bahan api itu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata, setakat ini, pihaknya masih mempertimbangkan cadangan mengenai kenaikan kadar tambang bas sedia ada.

"Kita akan umumkan keputusan sama ada mahu menaikkan tambang bas atau sebaliknya dalam tempoh terdekat. Insya-Allah dalam bulan ini kerana kita masih dalam fasa akhir menelitinya.

"Kita juga menerima rungutan daripada persatuan bas mengenai masalah subsidi diesel yang dipotong kerana ia membebankan mereka. Semua perkara ini diambil maklum oleh pihak kami," katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Baru-baru ini mStar Online melaporkan syarikat bas ekspres mungkin terpaksa gulung tikar dan menutup perniagaan sekiranya kerajaan masih tidak dapat membuat keputusan mengenai kadar kenaikan tambang yang baharu.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, kerajaan harus mengambil langkah proaktif mengenai isu ini dan menunaikan janji dengan segera mengumumkan kadar kenaikan tambang bas baharu.

Mohamad Ashfar berkata, permohonan kenaikan tambang bas sebanyak 30 peratus telah dikemukakan kepada SPAD pada Mei tahun lalu.





SPA, pengusaha bas

Artikel Lain