suria

GRABS Bantah Rancangan Lantik Dr Wan Azizah Sebagai MB Selangor

SHAH ALAM: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berhimpunsecara aman bagi membantah rancangan melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerak Rakyat Arus Bawahan Selangor (GRABS) itu berkumpul di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada petang ini bagi menyuarakan bantahan berhubung krisis politik Selangor yang dicetus oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jurucakap GRABS Hanafiah Hussin berkata mereka menolak cadangan itu kerana Presiden PKR berkenaan bukanlah anak kelahiran negeri Selangor.

Beliau berkata PKR juga dilihat melanggar titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

"Dalam media sosial banyak perkara yang dibidas oleh ahli politik, termasuk mengutuk institusi raja, kerana membuat keputusan menyokong Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.  

"Saya nak ingatkan kepada pemimpin DAP dan PKR, keputusan yang dibuat oleh Sultan adalah berdasarkan Mesyuarat Dewan Diraja Selangor," katanya.

Sementara itu, seorang bekas anggota PKR cabang Sabak Bernam Mohd Faisal Idris berkata pelantikan Dr Wan Azizah merupakan satu pelanggaran terhadap Deklarasi Permatang Pauh 1998, yang antara lain menentang nepotisme, kronis medan memperjuang keadilan untuk semua.   

"Keadilan apa yang diberikan kepada Abdul Khalid bila dia tidak diberi tempoh masa yang secukupnya bagi menjelaskan segala tuduhan, sedangkan Anwar sendiri diberi ruang untuk menangguhkan rayuan (kesnya di mahkamah) sebanyak 67 kali," katanya.   

Pada Khamis lepas, Dr Wan Azizah mendakwa mendapat sokongan majoriti 30 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat, termasuk dirinya dan dua ADUN PAS iaitu Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.   

Dr Wan Azizah, yang juga ADUN Kajang, mendakwa kesemua ADUN berkenaan juga menyatakan hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

GRABS, Dr Wan Azizah Wan Ismail, PKR

Artikel Lain