PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa Sultan Selangor tidak pernah menolak cadangan melantik Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar yang baharu. Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai ketua negeri, Sultan Sharafuddin Idris Shah lebih memahami Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor termasuk berkaitan perlantikan seorang menteri besar. "Sebagai sebuah kerajaan yang memenangi mandat dua pertiga dalam PRU13 yang lalu, sewajarnya keputusan melantik seorang menteri besar di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat (PR) itu dapat dibuat secara muafakat bersama. "Tuanku lebih arif dengan Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh negeri Selangor. Setakat ini, PKR difahamkan Tuanku Sultan Selangor terbuka dalam perkara tersebut dan akan membuat keputusan berlandaskan prinsip undang-undang," katanya menerusi kenyataan pada lewat petang Sabtu. Penegasan Saifuddin itu dibuat bagi menafikan laporan sebelum ini yang menyebut bahawa Sultan Selangor menolak pencalonan tunggal Dr Wan Azizah untuk dilantik sebagai menteri besar. Ia juga sekaligus dilihat sebagai peringatan kepada sekutunya daripada PAS yang akan bermesyuarat pada Ahad bagi menentukan status Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar sedia ada selepas dipecat daripada PKR. Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, rakan sekutu PR iaitu PAS dan DAP seharusnya mencapai persetujuan untuk melantik Dr Wan Azizah sebagai pemimpin utama di Selangor seperti yang dicadangkan PKR. "Proses mengikut Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Selangor untuk melantik seorang menteri besar adalah jelas dan ia bermula dengan pencalonan seorang Adun dari parti yang mempunyai majoriti di dalam dewan. "Sewajarnya PKR, DAP dan PAS harus berupaya mempersetujui seorang calon di kalangan Adun PR untuk dibawa pencalonan bagi perkenan Tuanku Sultan Selangor," katanya. Katanya lagi, Jawatankuasa PAS Pusat juga seharusnya mengambil kira jumlah majoriti mudah seramai 30 Adun Selangor yang mahukan Dr Wan Azizah diangkat sebagai menteri besar.