suria

Nik Aziz Jumpa Abdul Hadi Berhubung Krisis Politik Selangor

Nik Abdul Aziz Nik Mat.

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengadakan pertemuan dengan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mendapatkan penjelasan berhubung keputusan parti pada Ahad mengenai krisis politik di Selangor.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau akan membuat kenyataan setelah pertemuan berkenaan yang dijangka berlangsung di pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru di Kota Darulnaim pada Isnin.

"Saya tidak boleh sebut (komen) selagi presiden (PAS) tidak beri penjelasan kepada saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Melaka di sini, Ahad.

PAS pada Ahad membuat pendirian yang mengelirukan apabila mengumumkan tidak lagi menyokong kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Selain itu, mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Kuala Lumpur itu turut mencalonkan dua nama iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Mohamad Azmin Ali sebagai calon menteri besar yang baharu bagi menggantikan Abdul Khalid.

Tindakan itu bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama sebelum ini yang memberi sokongan penuh kepada Abdul Khalid untuk kekal sebagai menteri besar.

Artikel Lain