suria

MH17: Anggota Tentera Mengusung Jenazah Turut Bersedih

Dua keranda mangsa nahas pesawat MH17, Ariza Ghazalee, 46, dan anak sulungnya Muhammad Afif Tambi, 19, diusung oleh anggota tentera sebaik sahaja dua jenazah itu tiba di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuching, pada Jumaat.
SEPANG: Walaupun sudah berkali-kali membuat latihan, namun anggota 12 Briged Infantri yang ditugaskan mengusung jenazah mangsa pesawat MH17 merasa sedih apabila berdepan dengan keadaan sebenar membawa jenazah.

Bagi Lans Koperal Mohd Halim Othman, 26, beliau mula berasa sedih sebaik memasuki pintu pesawat khas MH6129 yang menerbangkan 20 jenazah dari Amsterdam, untuk menurunkan keranda milik penumpang pesawat, Muhammad Afif Tambi.

"Perasaan sedih saya memang tidak boleh dibayangkan. Apatah lagi, ini kali pertama saya terlibat dalam istiadat penghormatan jenazah," katanya kepada Bernama selepas tamat istiadat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antara bangsa KL di sini Jumaat.

Beliau berkata, raptai mengusung jenazah dilakukan sejak 25 Julai lalu.

Koperal Che Wan Mohd Nazrin Che Wan Azmi, 30, pula semakin kuat merasai perasan sedih apabila melintasi khemah yang menempatkan anggota keluarga mangsa untuk ke pesawat khas itu.

"Memandangkan kami hanya mengetahui nombor keranda yang akan diusung, saya beranggapan saya tidak akan berasa begitu sedih. Tapi apabila berada di depan anggota keluarga mangsa, saya turut terkesan kerana melihat mereka mengesat air mata," katanya.

Che Wan Mohd Nazrin ditugaskan mengusung keranda jenazah anak kapal Azrina Yakob.

Sarjan Jeffery Semat, 33, selaku ketua pengusung jenazah penumpang Ariza Ghazalee, turut sedaya upaya menyembunyikan perasaan sedihnya.

"Saya mendoakan supaya jenazah yang diusung itu merasa tenang kerana akhirnya dapat disemadikan di tanah air," katanya.

Di sebalik kesedihan itu, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Mej Jen Datuk Azizan Md Delin berpuas hati dan berbangga dengan komitmen 450 anggota berbeza pangkat pada istiadat julung kali melibatkan orang awam itu.

Beliau bersyukur apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memberi markah terbaik dengan pretasi yang ditunjukkan para anggota, yang diucapkan perdana menteri secara lisan sebaik upacara tamat.

Pujian turut diberikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kelancaran majlis adalah berkat usaha semua anggota lain-lain pangkat yang tidak jemu berlatih sejak 25 Julai lalu sehingga mereka tidak dapat bercuti pada Aidilfitri," kata Azizan.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas. 


Briged Infantri, MH17, sedih

Artikel Lain