suria

Insolvensi Tak Lantik Ejen Si Bankrap

PETALING JAYA: Jabatan Insolvensi menegaskan tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai perantara atau orang tengah bagi memudahkan urusan hal ehwal insolvensi bagi individu yang diisytiharkan bankrap.

Jabatan Insolvensi dalam satu kenyataannya kepada mStar Online berkata, sebarang urusan kebankrapan perlu diuruskan secara terus oleh individu yang bankrap itu sendiri.

Sehubungan itu, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kegiatan yang tidak berintegriti ini.

"Oleh itu, jika ada pihak yang mengaku sebagai ejen atau wakil jabatan maka ia adalah tidak benar," katanya.

Sumber jabatan itu berkata demikian bagi mengulas dakwaan dan aduan orang ramai berhubung penglibatan ejen tersebut.

Ini katanya, termasuk dakwaan mengenai pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak mengugut untuk membankrapkan individu atau syarikat.

"Jabatan Insolvensi sentiasa memandang serius terhadap sebarang dakwaan dan aduan orang ramai mengenai penglibatan sindiket atau mana-mana ejen yang menawarkan perkhidmatan atau mengaku membuat panggilan bagi pihak Jabatan Insolvensi atau mengugut untuk membankrapkan mana-mana individu atau syarikat," katanya.

Insolvensi, bankrap, ejen

Artikel Lain