suria

MH17: Abu Mayat Karamjit Dilepaskan Ke Laut

Amarpal Singh (dua, kiri) dan Malvinder Jit Singh (dua, kanan) membawa abu mayat bapa mereka untuk dilepaskan ke laut. - fotoBERNAMA
PORT KLANG: Abu mayat salah seorang mangsa nahas pesawat penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Karamjit Singh Karnail dilepaskan ke laut dekat jeti Pulau Ketam di sini.

Kira-kira 20 ahli keluarga termasuk anak lelakinya, Amarpal Singh, 22, dan Melvinderjit Singh, 21, melakukan upacara tersebut kira-kira pukul 11.40 pagi Sabtu.

Abang Karamjit, Dr Rajindar Singh mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan perkhidmatan kelas pertama dalam membawa balik mayat Karamjit.

"Kerajaan, tentera dan polis melakukan yang terbaik dalam membawa balik mayat adik saya," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, ahli keluarga Karamjit melakukan upacara pembakaran mayatnya di Taman Peringatan Nirvana di Shah Alam.

Mayat Karamjit, 54, seorang kakitangan syarikat cari gali dan pengeluaran minyak, ExxonMobil antara 20 yang dibawa balik ke tanah air pada Jumaat.

Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam terhempas dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah di timur Ukraine.
abu mayat, Karamjit Singh, MH17

Artikel Lain