SHAH ALAM: Calon Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menempelak pihak yang mempersoalkan isu jantina dalam pemilihan pemimpin, termasuk di peringkat negeri dan nasional. Bagi mengukuhkan pendiriannya, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yakin isu kewibawaan dan kelayakan seseorang adalah kriteria utama yang perlu diberi perhatian. "Dalam memilih pemimpin, kita harus jelas akan kriteria yang patut kita guna pakai biarpun di peringkat parti, negeri mahupun negara. "Sudah tentu kelayakan, kesungguhan, wibawa dan amanah sepatutnya menjadi kriteria utama. Jantina, umur dan rupa-paras hanyalah alasan semata," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Kongres Nasional PKR ke-10 di sini, Sabtu. Sebelum ini timbul perbalahan mengenai isu jantina selepas PKR menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal mereka untuk menduduki kerusi menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Penolakan itu juga pernah disuarakan oleh Exco PAS Selangor, Dr Yunus Khairi yang dilaporkan berkata, parti itu tidak bercadang memilih wanita sebagai menteri besar berdasarkan konsensus Pakatan Rakyat sebelum ini hanya memilih wanita sebagai wakil rakyat. Malah, isu jantina calon bakal menteri besar itu turut dikatakan menjadi punca kelewatan PAS memeperakui pencalonan Dr Wan Azizah. Hujah itu disokong apabila Jawatankuasa PAS Pusat yang bermesyuarat pada 17 Julai lalu menamakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon kedua selepas Dr Wan Azizah. Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah membayangkan beliau mempunyai keupayaan untuk mentadbir Selangor bersandarkan pengalamannya dalam politik. "Saya mengerti dan biasa melalui pahit maung dalam memimpin, samada sebagai pemimpin sebuah parti yang baharu semenjak penubuhannya 15 tahun yang lalu sehingga kini, dan juga sebagai seorang ketua keluarga ketika saudara Anwar dipenjarakan selama enam tahun. "Kita harus jelas bahawa isu kepimpinan ini bukan suatu perkara yang dipandang remeh oleh Islam," katanya.