suria

Kongres PKR: Anwar Akui Sistem Pemilihan "Selerak-Barak"

Anwar ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR Ke-10, Ahad.
SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kaedah pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dirombak semula kerana sistem sedia ada didapati tidak praktikal hingga menimbulkan pelbagai masalah.

Menurut Ketua Umum PKR itu, beliau sendiri pada mulanya tidak bersetuju dengan sistem 'satu ahli, satu undi' yang digunapakai sejak dua pemilihan yang lalu.

"Saya antara orang yang kurang setuju dengan proses ini, pemilihan ini (sistem)...saya tidak setuju. Tetapi bila diputuskan, ya kita teruskan.

"Memanglah selerak-barak, sebab kita mengambil keputusan yang dari segi ideanya sistem demokrasi itu memang baik tetapi pelaksanaannya tidak upaya kita laksanakan dengan berkesan," katanya ketika menyampaikan Ucapan Amanat Ketua Umum pada Kongres Nasional PKR ke-10 di sini, Ahad.

Justeru katanya Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sedia bertanggungjawab terhadap semua masalah yang timbul berkaitan pemilihan parti.

"Jadi saya terima, bukan kelemahan JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat), kelemahan pimpinan keseluruhannya dalam menangani langkah pemilihan pimpinan parti baru-baru ini.

"Dan pastinya dalam peringkat segera kita harus cadang rombak semula supaya ia demokratik tetapi praktikal untuk dliaksanakan," katanya.

Pemilihan PKR yang berlangsung sejak April lalu dan hanya berakhir pada awal bulan ini merupakan yang proses pemilihan paling panjang pernah dikendalikan PKR.

Sepanjang proses itu berlangsung, pelbagai masalah dilaporkan berlaku, termasuk insiden keganasan serta dakwaan rasuah membabitkan calon peringkat tertinggi parti.

Sementara itu, Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul ketika ditemui tetap mempertahankan sistem 'satu ahli, satu undi' yang digunakan PKR.

Mengakui wujud kelemahan dari segi perlaksanaannya, Johari bagaimanapun mahu sistem itu diteruskan pada pemilihan akan datang.

"Saya akan pertahankan sistem ini kerana ia baik. Cumanya (perlu fikir) bagaimana kita boleh perbaiki proses, yang pasti sistem itu adalah yang terbaik kerana anggota terlibat secara langsung.

"Bagi kami sekurang-kurangnya tiga bulan untuk turun ke bawah tanya pendapat mereka, dan kita akan persembahkan kepada parti.

"Bergantung kepada keadaan, kalau sekiranya terpaksa ubah semula semuanya, memang akan kita ubah. Tetapi bagi kita lihat dulu macam mana keadaannya sekarang ini," katanya.


Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR

Artikel Lain