SHAH ALAM: Seorang bayi lelaki dijumpai dalam satu beg kertas yang ditinggalkan di depan pintu utama sebuah projek pembinaan di sini, Ahad. Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Azisman Alias berkata, bayi berkulit cerah itu ditemui pekerja tapak pembinaan berkenaan pada kira-kira 11.30 pagi, disyaki baru ditinggalkan berikutan keadaannya yang masih elok. Beliau berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 11.45 pagi dan tidak menolak kemungkinan bayi berkenaan sengaja diletak di depan pintu utama kerana ia tidak beroperasi serta dikunci setiap Ahad. "Ketika dijumpai, bayi berada dalam keadaan sempurna, elok dan dibalut dengan sehelai tuala merah... usia bayi itu kita sedang periksa, dan kita hantar bayi itu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk pemeriksaan lanjut. "Dalam pada itu, polis sedang menyiasat dan mencari siapa ibu dan bapa kandung bayi tersebut untuk membantu siasatan," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS). Azisman juga berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.