suria

Kumpulan Konvoi Merdeka Ke Gunung Alps Pacak Jalur Gemilang

GEORGE TOWN: Tujuh motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Hot Bike Superbike akan menyertai Kembara Merdeka ke Gunung Alps bermula Selasa.

Presidennya Anwar Abdullah berkata konvoi itu dijangka tiba di Gunung Alps pada 31 Ogos dan meraikan Hari Kemerdekaan Negara dengan memacakkan Jalur Gemilang di puncak gunung itu, kira-kira 2,800 meter dari aras laut.

"Kembara ini mengambil masa 11 hari merentasi empat negara iaitu Jerman, Switzerland, Austria dan Itali dan diharap dapat menyemai semangat patriotisme dalam kalangan ahli," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata konvoi akan bermula di Munich, Jerman dan dijangka mengharung perjalanan sejauh 1,800km dalam keadaan cuaca sejuk antara 4 dan 10 darjah celsius.

Peserta tunggal wanita, Norehan Desa, 40, berkata ini kali pertama beliau menyertai perjalanan jauh seumpama itu selepas kembara di Thailand selama empat hari baru-baru ini.

"Saya teruja dengan ekspedisi kali ini dan giat meningkatkan stamina sejak beberapa bulan lepas dengan berbasikal selama tiga jam seminggu," katanya.

Beliau yang memiliki butik pakaian sendiri di Bukit Mertajam terlibat dalam aktiviti pemotoran berkuasa tinggi sejak berumur 28 tahun.


Merdeka, Gunung Alps

Artikel Lain