IPOH: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan pihak yang menuduh kononnya kerajaan menidakkan jasa perwira Lahad Datu dengan mengadakan istiadat penghormatan dan perkabungan negara bagi mangsa tragedi MH17, mempunyai agenda tertentu. Beliau berkata, pihak berkenaan juga dilihat bersikap mengadu-domba dan rakus dengan mempertikaikan istiadat tersebut serta tidak mempunyai sifat pertimbangan perikemanusiaan. "Keluarga perwira Lahad Datu tahu apa yang kerajaan lakukan untuk membela dan memberi penghomatan kepada mereka yang terkorban...(tuduhan itu) tidak serius sangat tetapi ia cuba melaga-lagakan mengenai layanan kerajaan terhadap perwira Lahad Datu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Umno Bahagian Ipoh Timor di sini, Ahad. Pingat Kedaulatan Negara diwujudkan khas untuk perwira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada Februari tahun lepas yang direka khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya. "Bagaimana kita menguruskan jenazah perwira yang terkorban, (wakil) kerajaan turun berjumpa keluarga mereka yang ketika itu diselubungi kesedihan, saya sendiri juga berbuat demikian," katanya. Beliau berkata, kerajaan juga terus meningkatkan kawalan keselamatan dan pemantauan di perairan pantai timur Sabah termasuk Lahad Datu bagi memastikan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu tidak berulang. Hishammuddin menegaskan perbuatan mempertikaikan usaha kerajaan dalam memberi penghormatan sama ada kepada mangsa tragedi pesawat MH17 dan perwira Lahad Datu perlu dihentikan. "Kalau kita tidak beri penjelasan, ia akan terbawa-bawa dalam media sosial. Mereka tidak tahu apa yang berlaku. Akhirnya perkara baik yang kita lakukan, yang diiktiraf dunia pada Jumaat lepas akan tenggelam," katanya. Menurutnya daripada maklum balas yang diterima termasuk media antarabangsa dan kedutaan-kedutaan negara luar, istiadat penghormatan dan perkabungan negara telah dilaksanakan dengan berjaya dan penuh tertib. "Ia tidak terlalu ringkas, tetapi ia cukup sempurna," katanya. Berhubung kenyataan pemimpin PKR yang menyifatkan anggota tentera terlibat dalam istiadat penghormatan Jumaat lepas seperti hamba abdi, Hishammuddin berkata sebenarnya anggota berkenaan merasakan telah diberi penghormatan untuk menyempurnakan upacara itu. Beliau berkata, setiap anggota tentera terlibat yang ditemuinya menyatakan penglibatan mereka dalam istiadat itu adalah satu penghormatan. "Itu satu kenyataan yang dilihat boleh mencetuskan kemarahan daripada pihak tentera...suara seorang, dua ini jangan diendahkan, mungkin ada kekosongan dalam jiwa mereka sendiri, mereka ini tidak akan menentukan maruah anggota tentera Malaysia," tegasnya. Portal berita semalam melaporkan perwakilan PKR dari Perak Laksamana (B) Imran Abdul Hamid mempertikaikan penggunaan anggota tentera untuk istiadat penghormatan jenazah mangsa pesawat MH17 dan menurutnya tentera yang gugur mempertahankan negara dalam insiden pencerobohan Lahad Datu tidak pula diberikan penghormatan yang sebegitu gah. Ketika membahaskan usul pada Kongres Nasional PKR Ke-10 di Shah Alam, Selangor, Imran yang juga anggota Parlimen Lumut berkata, pihak tentera digunakan secara "berlebih-lebih" seperti hamba abdi dalam upacara perkabungan seluruh negara Jumaat lepas. Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.