KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahaya meninggal dunia di Hospital Al-Islam, Kampung Baru di sini pada 1.50 petang Rabu setelah mengalami demam dan masalah paru-paru. Allahyarham berusia 75 tahun. "Allahyarham dibawa ke hospital itu pagi tadi selepas mengalami demam," kata anggota keluarganya yang enggan dikenali, ketika dihubungi Bernama di sini. Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Aminah Zakaria dan tiga anak iaitu Profesor Dr Ashraf, Amani dan Zainab. Jenazah allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Shah Alam untuk urusan pengebumian kira-kira pukul 5.30 petang tadi. Allahyarham menjawat jawatan Mufti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sejak Januari 1997 hingga Januari 2003.