THE HAGUE: Jenazah kumpulan ketiga rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 belum tiba di Rumah Mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage di sini Rabu. Sumber berkata, jenazah berkenaan masih berada di Pusat Perubatan Tentera di Hilversum, kira-kira 90 kilometer (km) dari rumah mayat itu berikutan proses dokumentasi masih dilakukan. Duta Besar Malaysia di Belanda, Datuk Dr Fauziah Mohamad Taib ketika dihubungi berkata, pihaknya optimis jenazah itu, yang telah dikenal pasti identitinya, akan tiba di rumah mayat itu pada Khamis. Difahamkan hanya satu jenazah bukan Islam daripada kumpulan ketiga itu telah selesai menjalani upacara pembakaran di rumah mayat itu baru-baru ini. Sebelum ini, media melaporkan jenazah rakyat Malaysia itu akan tiba pada Isnin dan Selasa di Rumah Mayat Monuta Innemee untuk diurus mulai Rabu sebelum dihantar pulang pada Jumaat. Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang ke tanah air dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas lepas disusuli kumpulan kedua dengan tiga jenazah pada Ahad. Mayat seorang lagi mangsa dihantar pulang pada Sabtu namun ia tidak diuar-uarkan atas permintaan keluarganya. Ia menjadikan jumlah jenazah rakyat Malaysia mangsa nahas MH17 yang telah dibawa pulang ke tanah air sebanyak 24. Penerbangan MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal, ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas. Seramai 43 orang daripada mangsa adalah rakyat Malaysia.