suria

KKLW Yakin Kurangkan Kadar Kemiskinan Orang Asl Kepada 25 Peratus Menjelang 2015

PUTRAJAYA: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin kadar kemiskinan di kalangan masyarakat Orang Asli mampu dikurangkan dari 31 peratus pada 2010 kepada 25 peratus menjelang tahun hadapan melalui peningkatan dalam pencapaian pendidikan dan penglibatan keusahawanan.


"Kita telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan Orang Asli tahun demi tahun, dan melalui usaha kerajaan yang berterusan kita yakin mampu untuk membantu menghapuskan kadar kemiskinan kelompok tersebut khususnya dari kalangan miskin tegar,"katanya berkata kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli di sini, Jumaat.

Mohd Shafie berkata, dalam bidang pendidikan, masyarakat Orang Asli telah berjaya mengatasi sasaran yang ditetapkan dengan kemasukan 286 pelajar ke institusi pengajian tinggi awam berbanding 239 pelajar yang disasarkan pada tahun lepas.

"Ada juga anak-anak Orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke luar negara buat masa ini. Seramai 24 orang anak Orang Asli sedang belajar di beberapa universiti di United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang di peringkat ijazah muda dan sarjana.

"Untuk tahun ini pula, seramai 14 orang lagi pelajar Orang Asli akan melanjutkan mereka ke luar negara," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga giat berusaha untuk memastikan masyarakat Orang Asli terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan sebagai salah satu cara untuk menambahkan pendapatan mereka.

"Seperti di Pekan, Pahang contohnya sebanyak enam buah rumah kedai telah dibina dan pihak kementerian juga akan memastikan aktiviti dagangan di rumah kedai itu akan dijalankan sendiri oleh penduduk Orang Asli,"katanya.

Katanya, selain bantuan dari kementerian melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), usaha untuk menambah penglibatan masyarakat Orang Asli dalam bidang keusahawanan juga dibuat dengan sokongan dari pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

KKLW, Orang Asli

Artikel Lain