Dadah tersebut sebanyak lima bungkusan bernilai RM620,000.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata wanita berusia 39 tahun itu yang baru tiba dari New Delhi, India ditahan pada pukul 7.35 pagi.
Beliau berkata syabu berbentuk ketulan kristal itu ditemui dalam beg pakaian suspek.
Noor Rashid berkata pihaknya turut merampas mata wang Malaysia, Amerika Syarikat, India, Filipina dan Thailand daripada suspek.
Suspek kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Merbahaya 1952.
Beliau berkata suspek pertama kali tiba di negara ini dan dia tidak mempunyai rekod lampau.
"Hasil siasatan awal didapati suspek akan diberi upah sebanyak RM5,000 bagi setiap kegiatannya mengedarkan dadah ke negara ini," katanya.
Rampasan itu adalah hasil kerjasama perkongsian maklumat antara pihak berkuasa Malaysia dan pihak penguatkuasaan narkotik antarabangsa.