suria

Kibaran Jalur Gemilang Meriah, Seragam Di Putrajaya

Kawasan perumahan sekitar Putrajaya giat menghiasi pekarangan kediaman mereka dengan Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan Negara Ke-57.
PUTRAJAYA: Meriah dalam keseragaman, kibaran Jalur Gemilang di sekitar Putrajaya bukan saja dapat menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk, malah mengindahkan lagi pemandangan di pusat pentadbiran negara ini.


Jika tahun-tahun sebelumnya penduduk bebas memasang Jalur Gemilang pelbagai saiz di mana saja yang mereka mahu, pemasangan Jalur Gemilang pada tahun ini lebih kemas apabila ia dinaikkan secara teratur dan seragam mengikut kategori premis.

Ia sejajar dengan hasrat Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKM), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mahu Putrajaya menjadi model bagi pemasangan Jalur Gemilang secara seragam untuk dicontohi.

Ketika mengelilingi Putrajaya, Jalur Gemilang menegak bersaiz 3 kaki x 14 kaki (0.91m x 4.26m) akan dilihat di tiang-tiang lampu di sepanjang jalan-jalan utama manakala di kediaman jenis pangsapuri, Jalur Gemilang melintang dipasang di balkoni setiap unit selain jenis menegak turut dipasang di bahagian sisi bangunan.

Di premis kerajaan termasuk sekolah pula, Jalur Gemilang melintang dipasang kebanyakannya di sekeliling bahagian atas bangunan, juga di sekeliling pagar premis manakala Jalur Gemilang menegak turut dikibarkan di sisi bangunan.

Turut menarik perhatian Jalur Gemilang dengan saiz yang begitu besar dipasang di beberapa bangunan kerajaan termasuk Kementerian Kewangan dan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Tidak ketinggalan, premis perniagaan termasuk stesyen minyak dan restoran turut menunjukkan semangat patriotik mereka dengan menaikkan Jalur Gemilang baik dari jenis melintang, menegak dan dipacakkan ke tanah.

Sebanyak 18,000 keping Jalur Gemilang berukuran 3 kaki x 6 kaki (0.91m x 1.82m) diedarkan kepada wakil penduduk yang mendiami kuarters apartment dan kuarters teres manakala 5,000 keping lagi diedarkan kepada bangunan kerajaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Apartment 5R3, Presint 5, Kamarul Zaman Salleh berkata sokongan penuh diberikan terhadap usaha kerajaan dalam menyeragamkan penggantungan bendera yang dilihat dapat menaikkan semangat patriotik rakyat.

Beliau menyifatkan ia sebagai usaha yang baik kerana beliau sendiri begitu berkobar-kobar untuk menghayati dan menyambut ulang tahun kemerdekaan apabila melihat banyak bendera berkibaran melalui usaha itu.

"Bendera yang diberi percuma hanya untuk dipasang di setiap unit rumah. Kami juga akan mengeluarkan tabung persatuan penduduk kami untuk membeli lebih banyak bendera untuk dipasang di bahagian bawah bangunan termasuk di sekeliling pagar," katanya.

Sementara itu terdapat juga warga Putrajaya yang mengambil inisiatif untuk tidak sekadar menggantung bendera, tetapi juga membuat binaan lain bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan.

Ia termasuk penduduk kawasan P11K Presint 11 yang membina pintu gerbang di pintu masuk kejiranan itu, menggantung wau yang dibuat daripada Jalur Gemilang, membuat binaan perahu daripada buluh yang dinamakan Bahtera Merdeka serta susunan tempurung yang membentuk nombor 57 sempena ulang tahun ke-57 kemerdekaan negara.

Anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) P11K, Aziz Ishak berkata 30 penduduk terlibat dalam usaha yang mengambil masa seminggu itu kerana semangat cintakan negara.

"Sebanyak RM1,500 dibelanjakan untuk membuat binaan ini yang merupakan wang kami sendiri, dan kerja-kerja ini dibuat dari 10 malam hingga 2.30 pagi setiap hari memandangkan kami semua bekerja pada waktu siang," katanya.

Timbalan Pengarah Kanan Komunikasi Korporat PPj Tengku Aina Tengku Ismail Shah berkata Putrajaya wajar dijadikan contoh bukan saja dari segi pemasangan Jalur Gemilang secara seragam, tetapi juga koordinasi pelbagai pihak yang terlibat termasuk PPj, KKM dan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi menjayakan usaha itu.

Beliau berkata, PPj sememangnya menyokong penuh usaha itu, malah sambutan penduduk amat menggalakkan apabila mereka memberikan kerjasama sepenuhnya dalam mematuhi arahan pemasangan bendera.

"Pemasangan Jalur Gemilang adalah untuk menerapkan rasa kebanggaan dan rasa cinta kepada negara, bukan hanya untuk tatapan visual," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Masyarakat KKM Hashim Bedu berkata selain menerima bendera percuma daripada kerajaan, orang ramai juga digalakkan membeli sendiri bendera untuk dipasang di kediaman atau kenderaan masing-masing.

"Ini sebagai bukti mereka cintakan negara," katanya.

Jalur Gemilang, Putrajaya

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan