NILAI: Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan penghuni penjara sekali lagi bergabung tenaga untuk menghasilkan lagu patriotik sempena sambutan Hari Kemerdekaan. Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik Usim, Mohd Zaini Othman berkata, mereka berpadu tenaga menulis lirik dan bertindak sebagai komposer. Beliau berkata, lagu itu kelak akan dipertandingkan pada Festival Cipta Lagu Patriotik (Cipta) 2014 yang bertemakan 'Melestarikan Perpaduan Hari Esok'. Sejak penganjuran Cipta pada 2008, 2009, 2010 dan 2012, hampir 150 buah lirik dan lagu telah dihasilkan kolaborasi antara pelajar Usim dan penghuni penjara, katanya. "Tahun ini sebanyak 80 lirik dan 60 lagu telah dihasilkan dengan 10 buah lagu terbaik telah dipilih untuk dipertandingkan pada konsert akkhir Cipta 2014 yang akan berlangsung pada 13 September di Dewan Besar Usim. "Setiap lagu akhir ini terdiri dari lima buah lagu yang dihasilkan pelajar Usim sebagai penulis lirik dan penghuni penjara sebagai komposer manakala baki lima buah lagi adalah sebaliknya," katanya. Mohd Zaini berkata, pada konsert akhir nanti, lagu-lagu ini akan dinyanyikan oleh sama ada pelajar, kakitangan Usim dan kakitangan serta penghuni penjara sendiri. Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengiringi para penyanyi yang akan diadili juri profesional Fauzi Marzuki, Siso Kopratasa dan Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain, katanya. Beliau berkata, menerusi penganjuran Cipta sebelum ini, enam buah lagu terbaik telah diterbitkan dalam bentuk mini album yang dilancarkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Hou Kok Chung dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop pada 2011. Sebuah lagu bertajuk Jiwa Berpadu telah diterbitkan dalam bentuk video klip berdurasi 15 minit, katanya.