SUNGAI SIPUT: Mayat dua beradik yang hilang ketika mandi di Sungai Perak berhampiran Batu Musafat, Bekut pada Khamis lepas, ditemui pagi Sabtu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput Zul Azman Jamaluddin berkata, mayat Meor Mohamad Izzat Meor Mazinun, 13, ditemui pada 8.58 pagi di Cegar Galah, kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian. Mayat adiknya Meor Mohammad Fahmi, 11, ditemui pada 9.25 pagi di Empangan Pasir, Karai kira-kira sembilan kilometer dari tempat mereka dipercayai lemas. "Kedua-dua mayat ditemui oleh penduduk kampung ketika usaha mencari dijalankan," katanya pada Sabtu. Kedua-dua mayat itu dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarganya. Dalam kejadian itu, dua beradik itu dilaporkan memancing dan mandi di sungai berkenaan bersama-sama dua lagi rakan mereka sebelum disedari hilang pada 5 petang. Kejadian dipercayai berlaku apabila Meor Mohammad Fahmi cuba menyelamatkan Meor Mohamad Izzat yang tergelincir sebelum kedua-duanya lemas. Ibu mereka, Rossilawati Mohd Nordin, 37, ketika ditemui berkata beliau reda dan menerima dengan tenang pemergian kedua-dua anaknya. "Anak-anak saya pergi dalam sekelip mata, ini semua ketentuan Allah. Saya sukar melupakan kejadian ini," katanya. Beliau yang dimaklumkan kejadian itu oleh anak sulungnya berkata kedua beradik itu merupakan anak yang baik, manja serta rajin membantu kerja-kerja di rumah. Mereka merupakan anak kedua dan ketiga daripada empat beradik selain kakak berusia 16 tahun dan adik perempuan berumur lima tahun. Bapa mangsa masih terkejut dan bersedih dengan kejadian itu.