suria

MH17: Beberapa Lagi Keluarga Mangsa Ke Amsterdam Untuk Pengecaman

Anggota Lembaga Pengenalpastian Identiti Mangsa MH17, Datuk Dr Zahari Noh yang juga Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang di hotel penginapan yang menjadi lokasi urusan berkaitan MH17 di The Hague.

KUANTAN: Beberapa lagi keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 diterbangkan ke Amsterdam untuk proses mengenal pasti dan pengecaman mayat selain menguruskan barangan milik mangsa. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata mereka merupakan antara waris jenazah yang telah pun dikenal pasti identitinya oleh Lembaga Pengenalpastian Identiti Mangsa MH17 dan dijadual dibawa balik ke tanah air pada Selasa depan.

"Mengikut Prosedur Operasi Standard, sebaik sahaja Amsterdam mengesahkan siapa yang akan dibawa balik, pada masa itulah baru kita maklumkan kepada waris.

"Kita tidak berani maklumkan lebih awal kerana ia melibatkan sensitiviti keluarga mangsa. Jika telah disahkan identiti jenazah itu, barulah warisnya dibawa ke Amsterdam untuk menguruskan barang dan kenal pasti mayat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan secara serentak persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Paya Besar pada Sabtu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan lima jenazah dan empat abu mayat mangsa tragedi MH17 akan tiba di tanah air dari Amsterdam, jam 8.30 pagi, Selasa ini.

Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, ditembak jatuh ketika di Donetsk, Timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Sejumlah 43 individu termasuk 15 anak kapal merupakan rakyat Malaysia.

Mh17, Amsterdam

Artikel Lain