suria

400,000 Pengunjung Banjiri Sambutan Kemerdekaan Ke-57

Ribuan penonton menyaksikan lebih 14,000 peserta perbarisan dari jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta serta anggota pasukan keselamatan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan yang Ke-57 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Ahad. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kira-kira 400,000 pengunjung membanjiri Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya pada sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-57, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery berkata acara sambutan kali ini mengetengahkan beberapa unsur baharu seperti watak animasi popular Malaysia Upin dan Ipin sebagai tarikan utama kepada orang ramai.

"Ia menjadikan (sambutan) kemerdekaan bukan lagi ibu bapa membawa anak-anaknya, (tetapi) saya difahamkan anak-anak yang membawa ibu bapa ke padang kali ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri acara itu di Dataran Merdeka di sini, Ahad.

Mengulas mengenai tema kesederhanaan yang dibawa pada kali ini berikutan tragedi menyedihkan menimpa negara yang melibatkan pesawat Malaysia Airlines, Ahmad Shabery berkata rakyat mesti terus bersemangat kental dalam menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.

"Ia adalah kesederhanaan tetapi tidak bermaksud kesederhanaan dari segi semangat. Semangat mesti kuat, semangat mesti dikentalkan dan kita tak melakukan secara keterlaluan tetapi ia penuh dengan makna. 

"Lahirnya sebuah cinta hingga kita cinta pada semua termasuk mereka yang kehilangan segala-galanya daripada tragedi ini (MH370 dan MH17)," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata walaupun negara masih bersedih dengan tragedi penerbangan MH370 dan MH17 Malaysia Airlines, namun semangat rakyat masih kuat untuk menghadapi sebarang cabaran.

"Tak kurang kemeriahan dan semangat rakyat Malaysia (diterjemahkan) dengan (mereka) keluar beramai-ramai ke Dataran Merdeka memang terserlah sekali," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sambutan kali ini sederhana tetapi cukup untuk menyuntik semangat membina ketahanan bagi menghadapi pelbagai cabaran.

"Kita gunakan sambutan kemerdekaan ini untuk membina kekuatan dalaman kita untuk menangkis segala ancaman dari luar yang cuba menghuru-harakan negara kita," katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, sambutan kali ini amat berjaya hasil kerjasama kukuh daripada segenap lapisan masyarakat.

"Amanat Perdana Menteri malam tadi, melalui perpaduan dan solidariti, kita yakin negara kita mampu mencapai pelbagai kejayaan yang boleh kita wariskan kepada generasi akan datang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain