SEPANG: Kerajaan memberi jaminan akan meneruskan usaha mencari warga Malaysia yang menjadi mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kabinet baru-baru ini memutuskan supaya pasukan penyiasat dan pihak keselamatan Malaysia kembali ke lokasi nahas untuk mencari mangsa tragedi. "Ini memberi harapan kepada keluarga yang tidak disenaraikan termasuk diri saya dan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak)," katanya, merujuk kepada Puan Sri Siti Amirah Kusuma, yang juga nenek tirinya dan seorang daripada mangsa nahas pesawat itu. Siti Amirah Kusuma, 83, merupakan isteri kedua Allahyarham Tan Sri Mohammad Noah Omar, iaitu datuk kepada Hishammuddin dan juga Najib. Allahyarham Mohammad Noah meninggal dunia pada 1990. "Kita terus berdoa bakinya (warganegara Malaysia) yang mungkin masih di lokasi nahas," kata Hishammuddin dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya di sini. Sidang media bersama itu disertai Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi. Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai. Sebanyak 43 warga Malaysia berada dalam pesawat Boeing 777-200 dan setakat ini, 24 jenazah warga Malaysia telah dihantar pulang ke tanah air. Hishammuddin bersyukur dengan tindakan proaktif dalam membawa pulang jenazah warga Malaysia dan kotak hitam. "Kalau tiada tindakan proaktif memandangkan perkembangan peperangan di Ukraine, kemungkinan besar jika tidak ambil kesempatan dan ambil kotak hitam, usaha membawa jenazah keluar dari lokasi nahas, mungkin mustahil kita dapat mengaturkan istiadat seperti ini. "Kita berusaha sedaya upaya untuk memberi penghormatan kepada mereka yang berada dalam tanggungjawab kita," katanya. Hishammuddin berkata, kerajaan berjanji untuk meneruskan usaha menuntut keadilan bagi mangsa dan keluarga tragedi yang tidak berdosa. "Peguam Negara dan agensi risikan antarabangsa sedang mengumpul bukti. Kita pastikan apa yang dijanji perdana menteri, kita akan bawa mereka yang terlibat dan dalang menembak jatuh pesawat MH17 ke muka pengadilan diteruskan," katanya. Sementara itu, Liow berkata, setakat ini 32 mangsa tragedi warga Malaysia dikenal pasti. Beliau berkata, 587 bahagian badan telah dibawa ke Kem Perubatan Tentera Hilversum, Belanda, manakala 183 jenazah telah dikenal pasti. "Sebanyak 115 jenazah masih dalam siasatan dan proses mengenal pasti identiti," katanya. Liow berkata, jenazah Tambi Jiee yang berada dalam pesawat MH17 bersama lima lagi anggota keluargnya, akan dibawa pulang dalam sesi seterusnya. Sebelum ini, jenazah isteri, Ariza Ghazalee dan anak sulungnya Mohd Afif telah dibawa pulang pada 22 Ogos. "Kita memerlukan lima dokumenasti. Asalkan ia mendapat pelepasan, kami akan maklumkan. Kami tidak tahu selama mana tempoh masa akan diambil. Kami tidak tunggu untuk bilangan, walaupun satu jenazah," katanya. Liow berkata, selepas mengenal pasti semua jenazah, keluarga akan dimaklumkan mengenai proses membawa balik jenazah dalam sesi-sesi seterusnya. "Kementerian Pengangkutan akan terus bekerjasama dengan semua kementerian untuk memastikan semua urusan jenazah MH17 dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya," katanya. Mengenai kotak hitam, Liow berkata, hasil siasatan akan diumumkan pasukan penyiasat antarabangsa bulan ini namun ia bergantung kepada pihak Belanda yang mengetuai siasatan untuk mengumumkannya.