KUALA TERENGGANU: Bapa kepada Menteri Besar Terengganu, Abdul Rahman Mohammad, meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru, pukul 6.15 petang Selasa. Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fauzan Abdul Kadir berkata, Abdul Rahman, 86, menghembuskan nafas terakhir di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Iman di sisi beberapa cucunya. Jenazahnya akan disembahyangkan di situ sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Seberang Takir, pukul 10 pagi Rabu. Allahyarham meninggalkan sembilan cahaya mata dan dipercayai menghidap penyakit itu sejak Disember tahun lalu.