suria

Ahli Silap Mata David Blaine Bakal Buat Kejutan Di Jalanan

KUALA LUMPUR: Walaupun sedang membuat persediaan untuk mengadakan persembahan di sini, tidak menghairankan apabila ahli silap mata David Blaine tetap mahu menunjukkan aksinya di jalanan kerana ia merupakan 'cinta pertamanya'.

Pemuda kelahiran Amerika berusia 41 tahun itu yang akan menunjukkan kehebatannya pertama kali secara langsung di Stadium Negara pada pukul 9 malam Jumaat, dijangka bakal memberikan kejutan lebih awal dengan mempamerkan keunikan silap matanya di suatu lokasi di bandaraya ini, Khamis.

"Saya akan keluar dan melakukan beberapa pertunjukan secara rawak kepada orang ramai pada waktu mereka tidak menjangkakannya," kata Blaine pada sidang akhbar di sini, di mana beliau telah menerima Anugerah Personaliti Antarabangsa BrandLaureate.

Setelah mencapai kemasyhuran pada tahun 1997 dengan rancangan televisyen Street Magic, Blaine memukau dunia dengan aksi magisnya yang 'mencabar kematian'.

'David Blane Real Or Magic Asia Tour 2014' akan menyaksikan bintang silap mata ini mengambil pendekatan baharu dalam mempamerkan magisnya.

"Ini adalah kali pertama saya meletakkan tindakan magis dan mencabar kematian bersama-sama.

"Anda akan melihat saya bernafas dalam air, minum 3.5 liter air, mungkin meletakkan besi pencucuk ais di tangan saya. Apa-apa sahaja boleh berlaku, "katanya.

Sementara itu, acara kemuncak persembahan yang disebut-sebut adalah aksi berani mati dan mencabar had kemampuan manusia.

Dianjurkan oleh LOL Events dan Livescape Asia, persembahan itu mendapat sokongan Malaysia Major Events, satu bahagian di bawah Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) di bawah Kemnenterian Pelancongan dan Kebudayaan.

Tiket berharga dari RM138 hingga RM518, boleh didapati di www.ticketpro.com.my.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/livescapeasia.

Artikel Lain