Setiausahanya Khairuddin Othman berkata walaupun Umno dan PAS mahukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai menteri besar, tidak bermakna mereka mengdakan kerjasama.
"Umno menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim kerana tidak mahu Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihan raya negeri dipanggil. Ini kerana mereka tidak yakin dengan diri mereka sendiri.
"Ini tidak bermakna PAS Selangor dan Umno Selangor bekerjasama," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin menandatangani satu akuan berkanun yang menyokong Dr Wan Azizah, menjadikan 30 daripada 56 wakil rakyat di negeri ini menyokong beliau.
13 lagi wakil rakyat PAS di Selangor tidak menandatangani perisytiharan itu.
Khairuddin berkata PAS Selangor setia kepada Pakatan Rakyat dan akan terus mempertahankannya, termasuklah keputusan untuk mengekalkan empat anggota exco dalam kerajaan negeri.
"Banyak pihak membuat andaian walaupun mereka bukan wakil rakyat atau sebahagian daripada jawatankuasa perhubungan negeri. Mereka hanya membuat andaian, "katanya.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengarahkan PAS, DAP dan PKR untuk mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon berpotensi untuk menggantikan Khalid.
Walaupun DAP dan PKR mengemukakan hanya nama Dr Wan Azizah ke istana untuk jawatan tersebut, PAS dipercayai telah mengemukakan dua nama.