SEPANG: Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berlepas pulang hari ini selepas melakukan lawatan rasmi sehari ke Malaysia. Abbott dan delegasi berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira 10.05 malam. Turut berada di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi. Ini merupakan lawatan pertama Abbott ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Australia pada 18 September tahun lepas dan lawatan tersebut dijangka memperkukuhkan lagi hubungan mesra antara kedua-dua negara. Awal Sabtu, Abbott dan rakan sejawatannya Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat tertutup delegasi bagi membincangkan kerjasama sedia ada dan perkara-perkara kepentingan bersama kedua-dua negara. Pada sidang media bersama, Abbott mengulangi komitmennya untuk membantu Malaysia dalam misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dan mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden penembakan pesawat MAS penerbangan MH17. Malaysia dan Australia masing-masing komited untuk menyumbang AUD60 juta (RM180 juta) dalam usaha mencari pesawat MH370 yang penerbangannya dipercayai telah berakhir di selatan Lautan Hindi pada 8 Mac lepas.