TUMPAT: Jentera Barisan Nasional (BN) diminta agar tidak mengambil ringan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada 25 September ini sebaliknya perlu bekerja keras memastikan BN terus menguasai DUN itu nanti. Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata BN dijangka berhadapan PAS pada PRK itu yang pastinya akan memberikan tentangan hebat. "Jentera BN jangan ambil ringan kerana ini adalah negeri yang diperintah PAS. Kemungkinan besar PAS akan bertanding di sini menggantikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kalau PAS bertanding mereka akan memberikan tentangan yang kuat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di sekitar DU Nberkenaan di sini, Ahad. Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata jentera BN perlu menggunakan kaedah yang dibenarkan dalam undang-undang ketika berkempen nanti untuk mengelak insiden yang tidak diingini. "Kita mahu kempen ini berlangsung dalam keadaan baik dan penuh dengan silaturahim. Jangan ada kempen yang memecahbelahkan perpaduan kerana kita satu bangsa dan negara walaupun berlainan parti," katanya. Beliau juga mahu PAS yang menuduh Umno akan membawa samseng pada PRK itu agar menarik balik dakwaan berkenaan kerana Umno sama sekali tidak akan membenarkan perkara itu berlaku. Menurutnya dalam tinjauan awal mendapati rata-rata pengundi di DUN itu kini mahu melihat siapa calon mereka yang sudah pastinya menjadi pengukur kepada sokongan terhadap parti bertanding. Katanya Umno dan BN telah pun mengadakan program awal iaitu mengadakan ceramah dalam kumpulan kecil dan berkunjung dari rumah ke rumah dalam memberikan penerangan bagi mengekalkan momentum sokongan terhadap BN. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, dari Barisan Nasional (BN), akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos lepas. Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 13 September ini sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pada 25 September.