MELAKA: Tindakan seorang lelaki dipercayai penagih dadah melarikan diri daripada serbuan polis, mendatangkan bencana, apabila terjatuh dari bumbung rumah jirannya dan mengalami kecederaan parah, di Taman Peruna Sungai Udang di sini, Isnin. Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Wan Zakaria Wan Awang berkata dalam kejadian 1.50 pagi, lelaki tempatan berusia 29 tahun itu bertindak melarikan diri melalui bumbung rumah adiknya dan melompat di atas bumbung beberapa rumah, sebelum terjatuh. "Ketika ditahan dia memberi alasan melarikan diri kerana tiada kad pengenalan sejak sebulan lepas. Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu melibatkan JPN, Jabatan Imigresen Melaka (JIM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka di sini, Isnin. Beliau berkata ujian saringan urin yang dijalankan mendapati lelaki yang berasal dari Kelantan itu positif dadah dipercayai jenis syabu. Katanya operasi empat jam bermula 12 tengah malam tadi membabitkan 85 anggota penguat kuasa, turut menahan 13 lagi warganegara asing di taman perumahan sama atas pelbagai kesalahan dokumentasi. Wan Zakaria berkata daripada jumlah itu, seorang wanita Indonesia dan tiga lelaki Filipina berusia lingkungan 30-an disyaki memiliki kad pengenalan palsu dan disiasat di bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara Malaysia 1990 (Pindaan 2007). Katanya lapan lagi iaitu satu lelaki dan dua wanita Thailand, satu wanita dan dua lelaki Indonesia serta masing-masing satu lelaki Bangladesh dan Filipina berusia antara 25 dan 35 tahun kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tinggal di negara ini setelah pas atau permit sah tamat tempoh. Beliau berkata JPN juga menahan empat kad pengenalan yang didapati dalam simpanan empat warga asing kerana disyaki telah disenarai hitam dan mempunyai kes dalam siasatan pihak JPN. "Operasi tersebut dijalankan berdasarkan aduan daripada Persatuan Penduduk Taman Peruna yang meragui status kewarganegaraan beberapa penghuni taman tersebut sebelum risikan dijalankan selama dua bulan," katanya. Sehubungan itu, katanya orang ramai atau pemimpin setempat diminta membuat laporan sekiranya mengesyaki terdapat warganegara yang menyalahgunakan dokumen pengenalan diri agar tindakan segera dapat diambil.