TUMPAT: "Cucu sulung saya pun ambil UPSR, namanya Suraya, dia menangis tanya tok ayah kenapa jadi begini," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri memberi reaksi spontan itu ketika ditanya mengenai insiden kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bocor. Malahan, apa yang dilaluinya itu membuatkan Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan memahami perasaan ibu bapa, keluarga serta pelajar dan berjanji akan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan. "Saya nasihat kepada anak-anak...jangan bimbang. "Saya sendiri rasa kecewa. Cucu saya yang sulung pun ambil UPSR, namanya Suraya dia menangis, tanya tok ayah kenapa jadi begini...jadi tok ayahnya kena tenteramkan," katanya pada sidang media selepas menghadiri proses penamaan calon bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor di sini, Sabtu. Sehubungan itu, Muhyiddin menasihatkan ibu bapa dan pelajar yang mengambil UPSR supaya tidak terlalu kecewa dengan insiden itu, malahan ibu bapa perlu memberi semangat kepada anak-anak supaya tidak tertekan dengan apa yang berlaku. "Ayah dia (Suraya), anak saya pula kata...tak apalah. Semalam saya tanya khabar dia (Suraya) dan dia katanya dalam keadaan baik. "Anak-anak yang berusia 12 tahun memang begitu. Kalau dah besar mereka pandai uruskan sendiri," katanya. Sambil menyifatkan kejadian itu kerana perbuatan pihak tidak bertanggungjawab, beliau berjanji akan mengenakan hukuman sewajarnya terhadap pihak terbabit. "Sekolah sudah atur kursus, bermalam di sekolah dan sebagainya, sekali bila duduki peperiksaan kata bocor pula. "Tapi ini (perbuatan) orang tak bertanggungjawab, sebab itu saya tak pandang ringan, kita kena ambil tindakan dari segi undang-undang," katanya. Mengulas lanjut perkembangan isu sama, Muhyiddin berkata, pihak kementerian telah menjalankan siasatan dan kini menunggu pihak penguatkuasa mengambil tindakan. Beliau berkata, beberapa perkara dan penambahbaikan perlu dilakukan berkaitan isu ini yang melibatkan kerahsiaan dan keselamatan.