TUMPAT: Tidak ada sebab untuk pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor menolak calon yang diketengahkan Barisan Nasional (BN) bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu, kata Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Shahrizat berkata, BN telah meletakkan calon terbaik bagi menggantikan penyandang terdahulu Datuk Noor Zahidi Omar yang disenangi masyarakat setempat. "Saya tengok tak ada sebablah kita tak boleh beri kepercayaan dan amanat kepada calon anak pondok BN. "Saya percaya calon BN di Pengkalan Kubor mampu berjuang dan berkhidmat untuk rakyat," katanya kepada pemberita semasa hadir ke pusat penamaan calon di sini, Sabtu. Menurut Shahrizat, kekuatan calon dan parti adalah penting dalam memastikan nasib rakyat terbela. Dalam hal ini, beliau menjelaskan tidak sukar bagi sayap Wanita membawa nama calonnya kerana parti berada dalam keadaan stabil. "Pertama parti BN stabil, tak bercakaran antara satu sama lain dan BN tepati janji. " Maaf cakaplah, kita tengok apa yang berlaku kepada pembangkang terutama di Selangor, yang jadi mangsa adalah rakyat...jangan perkara itu jadi di Pengkalan Kubor sudahlah," katanya. PRK DUN Pengkalan Kubor 25 September ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mat Razi Mat Ail (BN), Wan Rosdi Wan Ibrahim (PAS) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary. Izat Bukhary adalah calon yang sama bertanding di bawah tiket Bebas pada PRU-13 dengan mendapat 65 undi. PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya Noor Zahidi (BN) akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas. Allahyarham mengalahkan Saharun Ibrahim (PKR) dan Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.