SELEPAS meraih gelaran juara Terbuka Hong Kong kali ke-9 pada hari bersejarah Hari Kemerdekaan 31 Ogos lalu, kini ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David terus teruja untuk memikul tanggungjawab negara ke Sukan Asia 2014. Menurut jaguh no.1 dunia kelahiran Pulau Pinang ini, ada dua perkara yang membuatkan beliau gembira sebelum berangkat ke Korea Selatan. "Kami akan berangkat ke Incheon pada 16 September dan tarikh tersebut merupakan hari bersejarah negara, Hari Malaysia. "Hari bersejarah ini akan mengiringi kami berjuang untuk negara dan sudah tentu ia memberi suntikan semangat bukan sahaja kepada diri saya, malah seluruh kontinjen negara. "Sejak Ogos sehinggalah September kita menyambut hari bersejarah negara. Saya harapkan kita juga mampu melakarkan sesuatu yang penting untuk negara," jelas pemain berusia 31 tahun ini. Dalam pada itu, Nicol turut meluahkan perasaan gembiranya selepas dilantik buat pertama kali sebagai pembawa 'Jalur Gemilang' pada temasya ini. "Ini merupakan satu penghormatan bagi diri saya dan sudah tentu menjadi detik paling penting dalam karier saya," katanya. Mengenai aksinya di Incheon nanti, Nicol tidak memandang rendah terhadap lawannya biarpun beliau menjadi pilihan untuk mempertahankan kejuaraan. Nicol yang memburu pingat emas keempat bagi dirinya temasya ini, berkata beliau berwaspada dengan kehadiran beberapa pemain yang boleh menggugat kedudukannya seperti bekas juara Sukan Asia 2012, Misaki Kobayashi dari Jepun, Annie Au dari Hong Kong dan beberapa pemain dari India dan Pakistan. "Persediaan saya ke Sukan Asia bermula sebelum Sukan Komanwel lepas. Saya dan rakan sepasukan diberi masa untuk membuat persediaan. "Setakat ini, saya berada dalam keadaan yang bersedia untuk bersaing sebaik mungkin," katanya.