suria

Orang Singgah Pengkalan Kubor Kerana Kenduri Kahwin - Calon Bebas

Calon Bebas, Izat Bukhary (kanan) hadir bersama pencadang dan penyokong semasa pendaftaran penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Pengkalan Kubor di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat baru-baru ini. Beliau bertanding bersama calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail dan calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

KALI ini calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Izat Bukhary Ismail Bukhary nampaknya tidak kekok bertemu penduduk kampung berbanding sebelumnya.

Di sebuah kawasan perkampungan nelayan, dalam cuaca panas terik, kelihatan dia bersama isterinya, Nor Azian Mohd Hanafiah, 47, mesra berborak dengan mereka yang sedang menikmati sup belut di sebuah gerai di tepi jalan.

Rancak benar bualan mereka. Tanpa mengetahui butir-butir perbualan, sesekali mereka ketawa, bertepuk bahu dan selepas beberapa ketika, mereka bersalam-salaman sebelum Izat Bukhary menyapa pelanggan di meja seterusnya.

"Undilah saya...calon Bebas, saya guna lambang pen. Pen penentu masa depan anda.

"Kerajaan memang sudah terbentuk dan tak boleh diubah, tapi pemimpin masih boleh kita ubah," katanya dalam loghat Kelantan.

Sebagai reaksi terhadap kata-katanya, pelanggan yang kebanyakan sedang asyik menikmati sup belut bersama nasi putih memandang wajahnya, tersenyum, sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Anggukan itu mungkin memberi dua maksud!

Anggukan kosong untuk tidak mengecewakan calon Bebas itu barangkali, atau anggukan tanda setuju dengan apa yang baharu diucapkannya, walau ia dilafazkan dalam nada selamba dan bersahaja.

Izat Bukhary, 47 mengakui tidak punya banyak kudrat dan wang ringgit untuk kempennya berbanding dua calon yang 'dipayungi' parti Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Apa yang dia ada hanyalah 65 undi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang mungkin boleh dijadikan 'modal' kempen dan paling penting semangat untuk melakukan perubahan di Pengkalan Kubor.

Namun, dia mengakui 'berbelanja lebih' untuk kempen kali ini berbanding kempen ketika PRU-13.

"Bukan nak tunjuk hebat, saya guna dana sendiri tak ada tajaan atau peruntukan daripada mana-mana pihak.

"Kali ni ada rezeki lebih sedikit, jadi saya belanja lebih," katanya tanpa mahu menyebut sebarang angka.

Janji

Tanpa teragak-agak, anak kelahiran Kota Bharu ini berjanji akan membawa perubahan besar di Pengkalan Kubor jika diberi peluang.

"Saya berminat dengan Pengkalan Kubor kerana kawasannya kecil. Kalau saya menang agak mudah saya nak buat perubahan dalam masa kurang lima tahun," katanya.

Di sebalik santun tutur katanya, pensyarah ini juga sempat mengibaratkan dirinya seperti seekor burung tanpa sangkar.

"Sangkar adalah parti, saya tak ada sangkar.

"Kita tak tahu apa yang ada di dalam sangkar. Ada yang retak, pecah," katanya penuh makna.

Untuk kempennya kali ini, dia menggunakan poster berwarna hitam dengan kata-kata yang difikirkan berkesan untuk menarik minat penduduk.

Salah satu ayat yang tertera di poster kempennya adalah - "Siapa Izat Bukhary. Orang Islam. Orang Melayu. Orang Kelantan inginkan perubahan."

"Saya berkempen macam inilah. Keluar jumpa penduduk, beri penjelasan dengan mereka, semoga sikit-sikit hati mereka akan terbuka.

"Memang tak agresif (kempen), sebab saya bukan bergerak berkumpulan. Poster (kempen) saya keluarkan sikit-sikit," katanya mengenai perkembangan kempennya.

Ceritanya lagi, dia dan isteri, sering datang ke Pengkalan Kubor untuk meninjau perkembangan kawasan ini, namun tanpa berselindung dia berkata pembangunan di sini tidak dapat dilihat dengan jelas.

"Maaflah, kalau nak kata kawasan bebas cukai, ramai penduduk lebih selesa berbelanja di Tesco.

"Sayang nak berbelanja di sini dengan selesa dengan wang RM100, berbanding RM100 di tempat lain.

"Yang datang ke sini bukan sebab memang nak datang ke sini. Kebetulan datang Kelantan, ada kenduri kahwin, jadi mereka singgah sekejap," katanya.

Cabaran

Tanpa mahu menghiraukan gangguan dan cakap-cakap 'nakal' yang dihamburkan kepadanya, Izat Bukhary berkata, dia lebih senang menumpukan perhatian terhadap kempen mendekati penduduk kampung.

Katanya, dia menerima sokongan tidak berbelah bahagi daripada isteri dan ahli keluarganya untuk bertanding buat kali kedua di sini.

Isterinya berkata, suaminya itu mempunyai hasrat yang besar untuk melakukan perubahan dan dia yakin akan kemampuan suaminya jika penduduk memberikan peluang.

"Saya sokong dia kerana saya kenal dia. Saya tahu hasrat dan niat dia.

"Jika dia berjaya, dia tahu apa yang dia nak buat," katanya.


Pengkalan Kubor, Calon Bebas, PAS, BN

Artikel Berikut

Artikel Lain