KUALA LUMPUR: Aktivis pembangkang Adam Adli Abd Halim dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat selepas didapati bersalah memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah di sebuah dewan, Mei tahun lepas. Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan. Katanya, mahkamah berpendapat keterangan tertuduh bersifat penafian semata-mata. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam bela, Latheefa Koya bagi penangguhan pelaksanaan hukuman itu sehingga rayuan anak guamnya itu di Mahkamah Tinggi selesai. Mahkamah juga mengekalkan jumlah jaminan tertuduh iaitu RM5,000 dengan seorang penjamin. Adam Adli, 26, bekas penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris kelihatan tenang di kandang tertuduh ketika keputusan itu dibacakan. Dia didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang telah tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara tidak sah. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara lima tahun, jika sabit kesalahan. Terdahulu dalam rayuan, peguam memohon hanya dikenakan hukuman denda terhadap anak guamnya itu atas alasan hukuman yang diperuntukkan menyatakan denda atau penjara dan bukan sebaliknya. Katanya, anak guamnya juga masih muda dan masih menuntut di sebuah kolej swasta dalam jurusan perundangan selain perbuatan tertuduh tidak melibatkan keganasan. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas menegaskan walaupun peruntukan hukuman menyatakan denda terlebih dahulu, namun mahkamah masih boleh menjatuhkan hukuman penjara. "Perbuatan tertuduh juga dilihat menggalakkan orang ramai untuk turut serta dalam ceramah yang jelas boleh menjejaskan keamanan negara secara langsung," katanya.