suria

Penghidap Kanser Payudara Perlukan Lebih Coli Khas

KUCHING: Lebih banyak bekalan coli khas dan payudara tiruan diperlukan oleh wanita yang menghidap kanser payudara di Sarawak, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata berdasarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak yang berurusan dengan pesakit kanser payudara, bekalan bahan-bahan khas itu dilakukan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) tetapi jumlahnya tidak mencukupi.

"Sekarang NGO terbabit mahu kerajaan negeri, jika boleh melengkapkan bantuan kerajaan persekutuan (LPPKN) yang kini menyediakan dua pasang coli khas untuk setiap pesakit bagi tempoh tiga tahun sekali, yang mana adalah tidak mencukupi," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Menurut beliau, NGO membangkitkan permohonan itu semasa sesi dialog khas antara NGO wanita dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di sini.

Katanya sesi tertutup selama dua jam itu dihadiri 1,000 peserta terdiri daripada anggota NGO dan wanita berkerjaya di seluruh negeri itu.


Kanser Payudara, Coli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

MH17: Tiga Jenazah Tiba Di KLIA

Artikel Lain