PETALING JAYA: Dengan nada ceria, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka, Ir Iskandar Samad mengakui beliau pastinya teruja sekiranya dipilih sebagai menteri besar Selangor yang baharu. Bagaimanapun, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri itu mengakui tidak mengetahui siapakah calon 'bertuah' yang akan mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada Selasa ini. "Saya hanya baca mengenai spekulasi nama saya dipilih sebagai calon menteri besar Selangor dalam surat khabar sahaja. Setakat ini semuanya masih spekulasi semata-mata. "Saya pun nak tengok siapa yang akan angkat sumpah sebagai menteri besar, Selasa depan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Beliau turut mengakui masih belum menerima jemputan rasmi majlis ke angkat sumpah menteri besar Selangor yang baharu setakat ini. "Saya baru sahaja semak dengan pejabat saya, setakat ini saya masih belum terima jemputan rasmi. "Isnin dan Selasa depan saya juga ada mesyuarat yang perlu dihadiri. Namun jika ada jemputan rasmi daripada pihak istana sudah pasti saya akan hadir," katanya. Ketika ditanya adakah PAS Selangor sedia menerima jawatan tersebut, Iskandar berkata: "Saya tidak dapat memberikan jawapan. Sekarang ini pun saya di Muktamar PAS di Batu Pahat. "Apa pun kita tunggu keputusan penggulungan daripada presiden esok." Krisis jawatan menteri besar Selangor akan berakhir tidak lama lagi apabila Istana Selangor dijangka mengumumkan nama calon terbabit selewat-lewatnya pada Selasa. Akhbar The Star pada Jumaat melaporkan Iskandar dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali antara dua calon paling hampir untuk dilantik bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Berdasarkan kad jemputan yang telah diedarkan dan disahkan kebenarannya oleh para pegawai Istana, majlis mengangkat sumpah jawatan itu akan diadakan Istana Alam Shah, Klang pada pukul 10 pagi Selasa. Azmin merupakan Adun Bukit Antarabangsa. Persamaan antara beliau dan Iskandar adalah kedua-dua, mereka merupakan pengerusi parti masing-masing di peringkat negeri. Difahamkan, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dipilih sebagai Adun Kajang pada Mac lalu mungkin tidak akan mendapat jawatan itu. Perletakan jawatan Abdul Khalid akan berkuat kuasa sebaik sahaja menteri besar baharu mengangkat sumpah.