suria

PKR Pengkalan Kubor: Petanda Tak Baik Jika Harap Sokongan Dr Mahathir - Mukhriz

Mukhriz Mahathir.
PENGKALAN KUBOR: Barisan Nasional (BN) dinasihatkan supaya tidak bergantung kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk turun membantu berkempen pada pilihan raya termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti tidak harus bergantung harap dengan bekas perdana menteri yang telah lama bersara semata-mata bagu meraih undi dan mendapatkan semangat. 

"Tun Mahathir sudah bersara hampir 11 tahun.

"Kalau selepas 11 tahun pun kita masih bergantung harap kepada beliau untuk meyakinkan rakyat, ini bukan satu petanda yang baik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang zakat kepada penduduk-penduduk di Kampung Geting di sini, Sabtu.

Mukhriz berkata demikian ketika ditanya sama ada Dr Mahathir yang juga bapanya akan 'turun' ke Pengkalan Kubor untuk memberi semangat kepada jentera parti dan pengundi-pengundi seperti yang dilakukan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Mengulas lanjut, Mukhriz bagaimanapun berkata itu tidak bermaksud keupayaan bekas perdana menteri itu dinafikan.

"Bukan saya menidakkan keupayaannya untuk meyakinkan rakyat.

"Kita sendiri kena bersungguh untuk memberi jaminan kepada rakyat mengenai pentingnya rakyat terus memilih BN," katanya.

Jelasnya, beliau tidak pasti sama ada Dr Mahathir akan hadir ke Pengkalan Kubor atau sebaliknya dalam tempoh kempen yang berbaki empat hari sahaja.

Namun apa yang penting katanya, selagi Dr Mahathir menyatakan sokongan kepada BN dan Umno, itu sudah menjadi satu kelebihan kepada parti.

"Mungkin dia boleh turun mungkin tidak. Saya tak mahu nanti kalau dia tak dapat datang, itu dijadikan alasan sokongan tak diberikan.

"Biarlah kalau dia bercakap sekali dia menyokong BN, itu satu bonus tambahan di atas kerja baik yang telah kita lakukan  sebelum ini," katanya.

Mukhriz, Dr Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain