suria

Ceramah Perdana: Kehadiran Pimpinan PR Tak Dapat Disahkan

Takiyuddin Hassan
PENGKALAN KUBOR: PAS telah menghebahkan tentang ceramah perdana yang akan dihadiri pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) pada malam Selasa (esok) , namun sehingga kini senarai penceramah yang akan hadir belum dapat disahkan lagi.


Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hasaan berkata, PAS telah menghubungi beberapa pimpinan tertinggi PR, namun pengesahan hanya dapat diberikan lewat petang Isnin.

"Yang sudah sah (kehadiran) adalah pimpinan tertinggi, tetapi nama (pemimpin) kita akan maklumkan esok (Selasa)," katanya pada sidang media di Markas Besar PAS di sini, Isnin.

Mengenai lokasi ceramah, beliau tidak menyebutnya secara terperinci, tetapi hanya berkata ia akan diadakan 'di beberapa tempat'.

Ini berbeza dengan program Munajat Perdana pada pukul 4 pagi Rabu, yang turut diumumkan beliau pada sidang media sama.

Katanya, program tersebut yang akan diadakan di Pantai Geting, di sini, akan dipimpin Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebelum ini, Pengarah Jawatankuasa Operasi PAS PRK Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abd Rahim Wan Ismail berkata, PAS akan merahsiakan lokasi ceramahnya pada 23 September kerana bimbang 'diganggu' oleh Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya kecil sama.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan tema atau slogan yang dirasakan mampu menarik perhatian pengundi untuk memilih PAS.

Slogan tersebut adalah 'Dulu Datuk Di, Lo Ni Tok Wan Di' (Dulu Datuk Di, Sekarang Tok Wan Di).

Katanya, selain menarik, slogan tersebut dipilih kerana ia amat mesra dan tidak menyentuh mana-mana pihak.

Artikel Lain