PETALING JAYA: Keturunan Naning dari 25 daerah di Melaka dan Negeri Sembilan mengadakan bantahan secara aman pada sebagai tanda sokongan kepada Sultan Selangor. Diketuai oleh penghulunya, Datuk Seri Raja Merah Datuk Abdul Latif Hashim, mereka menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa sahaja yang membuat kenyataan berunsur hasutan terhadap institusi diraja. Kumpulan tersebut turut membuat lima laporan polis secara berasingan di balai polis Alor Gajah di Melaka, meminta pihak berkuasa untuk menyiasat kandungan sebuah artikel yang bertajuk "Hanya Allah ada Kuasa Mutlak, Bukan Sultan " seperti yang disiarkan dalam sebuah portal berita. Mereka juga membuat laporan polis terhadap bekas pensyarah Aziz Bari yang dipetik dalam artikel berlainan sebagai berkata, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu dilantik sebagai menteri besar kerana Sultan terikat dengan deklarasi 1992. "Kami menyifatkan artikel tersebut sebagai satu penghinaan kepada institusi diraja kerana mereka secara terang-terangan mempersoalkan kuasa Sultan dalam memilih dan melantik menteri besar yang pada ketika itu adalah amat jelas dalam perlembagaan Selangor bahawa seorang calon untuk jawatan tersebut mesti dilantik dengan persetujuan Sultan," kata Datuk Seri Shahbandar Jamil Sidi.