Menurut jurucakap Pejabat Menteri Besar Selangor, mesyuarat bermula 10 pagi itu dihadiri tiga anggota Exco daripada PAS iaitu Iskandar Abdul Samad, Sallehen Mukhyi dan Dr Halimah Ali.
"Ini merupakan hari terakhir Tan Sri Khalid (pengerusi mesyuarat Exco)sebagai Menteri Besar Selangor. Beliau mempengerusikan mesyuarat Exco untuk kali terakhir yang dihadiri Iskandar, Sallehen dan Halimah kecuali Dr Ahmad Yunus Hairi," katanya.
Difahamkan Abdul Khalid telah mengosongkan pejabatnya sejak Ahad.
Sementara itu, Iskandar menyifatkan Abdul Khalid sebagai menteri besar terbaik yang pernah dimiliki Selangor."Selangor amat bertuah kerana pernah mendapat menteri besar seperti Khalid sepanjang enam tahun ini. Saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid, yang telah menjalankan tugas dengan baik," katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka.
Sallehen pula berkata beliau amat berterima kasih kepada Abdul Khalid kerana mempercayainya untuk menggalas tanggungjawab sebagai anggota Exco.
Abdul Khalid dijadualkan mengadakan sidang akhbar pada petang Isnin dan difahamkan satu jamuan perpisahan juga akan diadakan khas untuk beliau.
Majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang 10 pagi Selasa.