PETALING JAYA: Sehari sebelum majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu diadakan, akhbar rasmi kerajaan negeri itu menuntut supaya operasinya tidak dipengaruhi campur tangan politik. Malahan, Ketua Pengarang Selangor Kini, Fazallah Pit berharap sesiapa sahaja yang bakal dilantik perlu bersedia untuk memerdekakan akhbar negeri itu. "Selangor Kini berharap pentadbiran menteri besar yang baharu, walau sesiapapun bersedia untuk memerdeka akhbar negeri ini dari sudut editorial dengan tiadanya campur tangan politik, sebaliknya tertumpu kepada suara rakyat selain menjulang dasar kerajaan negeri. "Namun, tahap kebebasan media perlu dipertingkat tanpa mengikut telunjuk mana-mana pemimpin mahupun parti politik baik pemerintah mahupun pembangkang, sebaliknya menjadi saluran suara rakyat akar umbi," katanya menerusi kenyataan di sini, Isnin. Fazalah berkata, aspek yang dinyatakan itu penting kerana operasi media negeri dijana melalui wang rakyat, sama sekali berbeza dengan penerbitan akhbar kepartian seperti Harakah dan Suara Keadilan. Oleh itu, katanya, usaha tertentu harus dibuat tanpa menjejaskan kebajikan kakitangan sedia ada supaya proses kemajuan media negeri terus berlanjutan melalui pentadbiran baharu. Pada masa sama, Selangor Kini merakam ucapan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas sumbangannya dalam memajukan media. Beliau berkata, pentadbiran Khalid mengangkat nilai kebebasan media ke tahap lebih baik berbanding akhbar negeri ketika zaman pemerintahan Umno BN yang menggunakan nama Era Jaya. Tambah beliau lagi, semua media negeri yang ditadbir Umno dan Barisan Nasional (BN) juga harus mengambil langkah ini.