PUTRAJAYA: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu menduduki semula kertas Matematik dan Bahasa Tamil pada 9 Oktober ini. Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof pada sidang media khas di sini petang Isnin. Ini kerana kertas ujian Mathematics 015/1 (SK), 025/1 (SJKC), 035/1 (SJKT), Bahasa Tamil 036, 037 bagi UPSR didapati bocor. Tarikh baharu itu diputuskan selepas mengambil kira cuti umum Hari Raya Aidiladha yang dijangka pada 5 Oktober depan. "Peperiksaan ini dilaksanakan semula bagi memastikan pengendalian peperiksaan awam mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan di samping menjamin integriti dan kredibiliti keputusan UPSR tersebut," katanya dalam sidang media di sini, Isnin. Katanya sebagai langkah serta merta, beliau sedang mengambil tindakan untuk membuat pertukaran pegawai-pegawai di Lembaga Peperiksaan bagi memantapkan lagi pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam. Beliau berkata, semua aspek keselamatan dalam pengurusan dan pengendalian kertas peperiksaan dari peringkat Lembaga Peperiksaan sehingga ke pusat peperiksaan diperketatkan. Dr Khair berkata, beliau telah mengambil alih pengawasan seluruh proses pengendalian peperiksaan awam yang dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan sejak insiden kebocoran pertama dilaporkan pada 12 September. "Saya amat memahami perasaan, keresahan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua. Selaku Ketua Pengarah Pelajaran, saya memohon maaf kepada murid-murid, ibu bapa, guru-guru dan semua yang terlibat ekoran insiden ini. "Saya telahpun mengarahkan semua guru besar dan guru untuk mengenal pasti dan memberi khidmat kaunseling kepada murid-murid yang memerlukan. Saya memberi jaminan dan komitmen bahawa insiden kebocoran kertas-kertas peperiksaan awam tidak akan berulang," katanya. Apabila ditanya sama ada terdapat kertas UPSR lain yang didapati bocor, Dr Khair berkata, Kementerian Pendidikan yakin ia tidak berlaku. "Sehingga semalam, inilah kertas-kertas yang berlaku kebocoran (Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Tamil)," katanya.