suria

Dakwaan Guru Hentak Kepala Murid Tidak Benar

Jame Alip.
KOTA KINABALU: Dakwaan bahawa seorang guru sekolah rendah di Inanam menghentak kepala seorang pelajar ke meja sehingga menyebabkan kecederaan di kepala adalah tidak benar, kata Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip.

Beliau berkata pelajar lelaki Tahun 2 itu sebenarnya terjatuh ketika cuba mengelak guru Bahasa Melayu terbabit menyentuh cuping telinganya pada kira-kira 11 pagi Isnin selepas dia didapati tidak menyiapkan kerja sekolah.

"Oleh kerana murid ini cuba mengelak telinganya dipegang oleh guru, murid berpusing ke arah kanan dengan keadaan membelakangkan guru, kedua kakinya bersilang mengakibatkan hilang keseimbangan badan dan kepalanya terhantuk di tepi meja guru," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jame juga berkata pihak Jabatan Pendidikan Sabah sudah bertemu dan berbincang dengan ibu bapa murid berkenaan untuk memperjelas keadaan sebenar dan mereka berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

"Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menganggap kes ini telah selesai," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain