suria

Cadangan Ganti Akta Hasutan Bawa Transformasi Kepada Kebebasan Bersuara - Nancy

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan Akta Keharmonian Nasional ialah untuk membawa transformasi terhadap hak kebebasan bersuara di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau bagaimanapun berkata kebebasan bersuara bukan bersifat mutlak sebaliknya tetap berlandaskan peruntukan undang-undang.

"Kalau kita bagi kebebasan mutlak, ini akan menimbulkan satu keadaan tidak senang hati dalam kalangan majoriti.

"Untuk mencari mekanisme bagi kebebasan bersuara, ia satu proses yang rumit kerana mengambil kira hak-hak dalam Perlembagaan seperti Perkara 152, Perkara 153 mengenai hak untuk Melayu, Bumiputera di Sabah dan Sarawak di samping dari segi bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dan institusi diraja," katanya ketika menjadi tetamu program Agenda Awani bertajuk 'Antara Kebebasan Bersuara & Keharmonian Negara' terbitan Astro Awani malam Isnin. 

Nancy berkata kerajaan perlu mengambil kira maklum balas orang ramai sebelum cadangan menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan Akta Keharmonian Nasional dilaksana. 
 
Mengulas lanjut, Nancy berkata Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Majlis Konsultatif Perpaduan Negara (NUCC) diberi tanggungjawab merancang serta membincangkan Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional.
 
"Tetapi tidak semestinya kita akan terima bulat-bulat cadangan JPNIN dan NUCC kerana kita mempunyai badan berkuasa untuk menjalankan kerja-kerja ini," katanya.

Menyentuh tindakan segelintir pihak yang menghasut Sarawak supaya keluar dari Malaysia, Nancy yang juga Anggota Parlimen Batang Sadong berkata penggabungan negeri itu dengan Semenanjung Malaysia untuk menubuhkan Malaysia adalah atas persetujuan bersama.
 
"Sarawak tidak akan sesekali terpengaruh dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab supaya keluar dari Malaysia," katanya. 


Artikel Sebelum

Azmin Pohon Restu Bonda

Artikel Berikut

Artikel Lain