suria

Peratusan Keluar Mengundi Terbaik Dalam Semua PRK Tahun Ini - SPR

TUMPAT: Peratusan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor cukup memberangsangkan apabila 54 peratus pengundi keluar membuang undi sehingga pukul 12 tengah hari Khamis.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz MOh Yusof berkata peratusan itu, yang melibatkan 12,945 pengundi adalah rekod yang terbaik dalam PRK yang diadakan pada tahun ini.

Beliau membandingkan PRK di Pengkalan Kubor dengan PRK Parlimen Teluk Intan, PRK DUN Balingian, PRK DUN Kajang dan PRK Parlimen Bukit Gelugor menunjukkan rekod peratusan keluar mengundi yang rendah.

"Saya sangat berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi. Jarang-jarang sekali kita mendapat angka sebaik itu.

"Saya menjangkakan peratusan keluar mengundi adalah lebih 70 peratus sehingga proses pengundian ditutup," katanya pada sidang media di Maktab Rendah Sains Mara, di sini, Khamis.

Ditanya mengenai faktor-faktor yang menyebabkan peratusan keluar mengundi begitu menggalakkan, beliau berkata, ia disebabkan kesedaran pengundi, usaha keras jentera parti, cuaca yang baik dan kempen yang berjalan lancar.

Katanya, PRK Pengkalan Kubor menunjukkan proses dan perjalanan yang lancar bermula sejak hari penamaan calon, sepanjang tempoh berkempen dan hari mengundi.

"Setakat ini sebanyak tujuh laporan polis telah dibuat tetapi tiada kes yang mengancam keselamatan.

"Ia berkaitan dengan ceramah dan banner parti sahaja," katanya.

Dalam pemilihan kali ini, seramai 23,929 pengundi yang berdaftar di DUN Pengkalan Kubor layak membuang undi.


Pengkalan Kubor, SPR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain