suria

"Saya Tidak Sabar Nak Jumpa Ibu" - Aishah

Pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalludin memeluk anak-anaknya iaitu Aisyah, 15, Ammar, 12, Adam, 11, dan Ariff, 8, setelah tujuh bulan tidak bertemu sebaik tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Julai lalu. Azizul Raheem dijatuhi hukuman penjara kerana memukul keempat-empat anaknya sejak September 2010, dan telah menjalani hukuman tiga bulan di Sweden bermula 28 Mac lepas.

KOTA BAHARU: "Saya teruja dan tidak sabar untuk berjumpa dengan ibu," kata Aishah Azizul Raheem, anak sulung Shalwati Norshal yang dihukum penjara oleh Mahkamah Daerah Solna, Stockholm, Sweden.

Aishah, 14, berkata beliau bersyukur dan gembira apabila mengetahui ibunya akan dibebaskan dari penjara esok.

"Apa yang lebih menarik ialah kami semua akan dapat menyambut Hari Raya Aidiladha bersama ibu," katanya kepada pemberita di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor di sini, Ahad.

Dia berkata dia dan adiknya Ammar, 13, Adam, 12, dan Ariff, 8, akan membuat kad ucapan khusus untuk menyambut ketibaan ibu mereka selain akan memberikan jambangan bunga.

Sementara itu bapa Shalwati, Norshal Nordin, 70, berkata beliau bersyukur kerana anaknya akan kembali ke Malaysia.

"Sekurang-kurangnya anak saya dapat balik bertemu keluarganya dan saya berharap dia dapat membina kehidupan lebih baik selepas ini," katanya.

Akhbar melaporkan Shalwati akan dibebaskan esok selepas selesai menjalani hukuman penjara dan dijangka pulang ke Malaysia pada Rabu.

Pada 29 Mac lepas, beliau dan suaminya Azizul Raheem, seorang Pegawai Tourism Malaysia dijatuhi hukuman penjara kerana mendera anak-anak mereka sejak September 2010.

Azizul Raheem kemudiannya dibebaskan pada 9 Julai selepas menjalani hukuman penjara tiga bulan, manakala Shalwati seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji dijatuhi hukuman penjara 14 bulan.

Bagaimanapun hukuman mereka dikurangkan dengan masing-masing hanya perlu menjalani satu pertiga daripada tempoh hukuman mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Lain