Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata NYPD juga pernah berhadapan masalah persepsi negatif mengenai integritinya dalam kalangan warga Amerika Syarikat 20 tahun yang lepas, tetapi mereka berjaya menanganinya melalui pelaksanaan amalan terbaik.
"Polis Malaysia juga sedang menghadapi masalah yang sama walaupun mereka berjaya menurunkan kadar jenayah," katanya kepada media Malaysia di sini pada Ahad (Isnin di Malaysia).
Amalan terbaik yang menetapkan seseorang anggota dianggap melakukan suatu kesalahan jika mereka, antara lain, enggan mengambil laporan, mempertikaikan tangkapan atau saman, menganggotai persatuan jenayah, tidak bersetuju dasar jabatan atau tindakan, pertikaian domestik, gangguan, kehilangan harta, salah guna komputer pejabat dan salah laku di luar tugas.
"Masyarakat mempunyai persepsi bahawa majoriti anggota polis adalah rasuah," katanya.
Zahid berkata beliau membincangkan mengenai cara-cara untuk meningkatkan integriti PDRM ketika bertemu pegawai-pegawai kanan Biro Hal Ehwal Dalaman NYPD serta bekas ketua NYPD, Charles V. Campisi baru-baru ini.
"NYPD telah berjaya mengatasi rasuah sistemik, rasuah oportunis dan rasuah kelaziman dalam kalangan anggotanya," kata beliau.
PDRM menubuhkan Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard Mei lepas bagi memerangi rasuah dan integiriti dalam pasukan itu.
Jabatan itu juga ditubuhkan di setiap kontinjen polis dan peringkat daerah, katanya.
Selain amalan terbaik, Zahid berkata PDRM juga mencari kaedah untuk menambah baik skim perkhidmatannya sebagai satu daripada inisiatif membanteras rasuah.